Selasa, 3 Februari 2009

Ekonomi Asia Mampu Berkembang Dengan Lebih Pesat

4 Februari 2009

EKONOMI Asia mampu berkembang dengan lebih pesat tahun depan sebaik ekonomi seluruh dunia keluar daripada kegawatan, kata ketua Tabung Mata Wang Antarabangsa (IMF), semalam.

“Apabila ekonomi dunia kembali kepada kedudukannya, pemulihan pesat tidak mustahil,” kata Dominique Strauss-Kahn yang menjangkakan ekonomi Asia akan berkembang lebih daripada lima peratus pada 2010, hampir dua kali lebih tinggi daripada 2009.

“Negara Asia tidak mampu pulih sehingga keseluruhan ekonomi global bebas daripada kemelesetan ekonomi semasa yang teruk kerana negara berkenaan amat bergantung kepada pasaran eksport,” katanya pada satu sidang media menerusi internet dari Washington.

Rantau Asia dijangka mencatatkan pertumbuhan ekonomi sebanyak 2.7 peratus tahun ini, dengan negara Asia yang sedang membangun akan mencatatkan pertumbuhan 5.5 peratus, kata Strauss-Kahn.


“Bagaimanapun, ia amat tidak menentu dan perkara buruk tidak boleh diketepikan,” katanya.

Katanya, ketika ekonomi Amerika Syarikat (AS) dan Eropah mulai pulih, ekonomi sesetengah negara Asia ‘mungkin pulih dengan pantas.

“Sesetengah ekonomi Asia amat dinamik. Mereka mempunyai banyak sumber dan asas yang kukuh.

“Pengurangan kadar faedah dan perbelanjaan kerajaan akan membantu pemulihan di Asia, yang mana bank di rantau ini tidak berdepan masalah seteruk bank di AS dan Eropah,” kata Strauss-Kahn.

Katanya, beberapa negara di rantau ini, termasuk China, mempunyai banyak ruang bagi melaksanakan langkah fiskal bagi menggerakkan ekonomi.

“Keadaan mungkin ‘amat mencabar’ bagi China untuk mencapai sasaran pertumbuhannya sebanyak lapan peratus tahun ini, meskipun ia bukanlah sesuatu yang mustahil,” kata Strauss-Kahn yang menegaskan IMF sendiri menjangkakan ekonomi China akan berkembang 6.7 peratus pada 2009.

Katanya, China akan berdepan banyak ‘perubahan yang memeritkan’ kesan daripada kelembapan global.

“Perubahan itu pasti untuk kebaikan dan kepentingan penduduk China. Ia perlu dilakukan,” katanya.

Tambahnya lagi, dalam jangka panjang pula, China dan seluruh Asia mesti mengurangkan pergantungan kepada eksport dan perlu menjana permintaan dalam negara, tetapi ia adalah suatu langkah sukar dan akan mengambil masa bagi mencapai matlamat itu.

IMF menjangka ekonomi Korea Selatan menguncup empat peratus tahun ini, iaitu unjuran jauh lebih rendah daripada unjuran awal berikutan kejatuhan eksport yang banyak dan permintaan domestik yang lemah.

Bagaimanapun, ekonomi keempat terbesar Asia itu akan mulai pulih pada separuh kedua dan dijangka berkembang 4.2 peratus pada 2010, menjadikannya pemulihan yang paling pesat di kalangan ekonomi dunia, kata IMF dalam laporannya.

Seperti China dan Jepun, Korea Selatan menerima kesan teruk daripada kejatuhan eksport apabila pengguna AS dan Eropah mengurangkan perbelanjaan bagi menghadapi kemelesetan ekonomi. - AFP

Ketua IMF itu juga memberi amaran kepada negara berkenaan untuk tidak mendapatkan perlindungan ketika kejatuhan ekonomi sambil menyatakan: “Menagih simpati daripada negara jiran kamu tidak akan pernah memberikan keputusan yang baik.”

Penyokong perdagangan bebas bimbang krisis ekonomi global dan pembuangan pekerja yang berterusan akan memaksa kerajaan melaksanakan dasar yang menyebelahi syarikat milik negara dan mengurangkan aliran perdagangan dunia. - AFP

Sumber: http://www.bharian.com.my

Keadaan pasaran yang sebegini semestinya diambil peluang bagi pelabur jika tempoh pelaburan anda mid-long term (3 tahun - 5 tahun keatas). Harga NAV seunit telah mencecah paras murah berbanding belian NAV seunit tahun 2007. Sumber IMF menunjukkan apabila apabila ekonomi global dapat sudah keluar daripada kegawatan ekonomi, pasaran Asia akan dapat berkembang dengan pesat kembali.

Belian unit amanah pada tempoh ini memberikan peluang kepada pelabur mendapat unit yang banyak berbanding jika membeli pada harga yang tinggi. Contoh mudah, jika tahun 2007 anda mempunyai RM10,000, jika seunit berharga RM1 unit yang diperolehi hanya 10,000 unit, tetapi jika hari ini 2009 harga seunit pada paras RM0.50 dengan RM10,000 anda mempunyai 20,000 unit. Jika keadaan pasaran kembali pulih pada tahun 2010 dengan harga ke paras RM1 kembali anda telah mendapat keuntungan RM10,000.





Comments :

have 0 comments at “Ekonomi Asia Mampu Berkembang Dengan Lebih Pesat”